Monday, March 29, 2010

TAMAN ALAM MUTIARA PROJEK TERBENGKALAI!!

[Kuala Selangor] TAMAN ALAM MUTIARA – “Sampai bila kami mahu tunggu?” Itu luahan 712 peserta pemilik tanah di kawasan itu mendakwa ditipu oleh pemaju yang berjanji untuk diberikan rumah dan wang pampasan kepada mereka.

Perumahan yang dibina itu, sepatutnya siap sepenuhnya pada 2002 tetapi terbengkalai begitu sahaja dan seolah-olah tidak beroperasi lagi.

Peserta, Sharip Jani, 55 berkata, ia adalah tanah anugerah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri dan diberikan kepada peserta yang terpilih.

Tanah itu diusahakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), kemudian diserahkan kepada sebuah syarikat pemaju MUJUR ZAMAN SDN BHD untuk membangunkan di kawasan dengan keluasan 2246.774 ekar.

“Pihak pemaju ada berjanji kepada peserta di mana setiap seorang akan mendapat pampasan sebanyak RM360,000 dan dibahagikan dua iaitu diberikan RM180,000 dan selebihnya, sebuah rumah di taman ini.

“Kami dapat wang tersebut yang dibayar tiap-tiap bulan tetapi tidak selaras yang diberikan oleh kami. Ada yang dapat, sebulan RM200, RM500 dan paling teruk RM50 sahaja,” katanya ketika ditemui di tempat di sini.

Sharip berkata, bagi mendapatkan wang itu, peserta perlu ke pejabat pemaju tersebut dan tidak diberikan sebarang resit dan hanya perlu tanda tangan sahaja.

“Kami ini, orang kampung yang hanya ikut sahaja kehendak mereka dan mudah percaya segala apa yang dijanjikan.

“Pemaju pernah memberikan cek kepada peserta, tetapi apabila kami ke bank untuk menebus wang tersebut, pihak bank memberitahu bahawa cek tersebut adalah cek tendang,” katanya.

Ong Saa Kee, 74, pula berkata, sewaktu pergi ke pejabat itu untuk mengambil wang, dia juga turut mengemukakan pertanyaan kepada mereka mengenai pembinaan berkenaan.

“Saya tanya kepada mereka, bila perumahan di taman tersebut akan disiapkan, mereka memberikan jawapan, menyuruh sabar sahaja.

“Sampai bila mahu sabar sedangkan sepatutnya ia sudah siap pada 2002 dan boleh diduduki pada 2004 yang lalu,” katanya.

Saa Kee berkata, apa yang dikesalkan lagi, kebanyakan peserta adalah golongan yang berpendapatan rendah dan masing-masing sudah pun berusia.

“Tolonglah jangan pinggirkan dan sisihkan kami kerana tanah ini adalah satu-satunya harta untuk masa depan anak-anak,” katanya.

Rahimah Sehalang, 65 pula berkata, dia yang telah kehilangan suami dan anaknya begitu sedih kerana hanya tanah itu sahaja yang menampung perbelanjaan hariannya.

“Sekarang ini, makcik yang menjaga cucu yang masih kecil dan tidak mempunyai sebarang harta.

“Sebab itu, harap sangat pihak yang berkenaan dapat membantu menyelesaikan masalah ini dengan secepat yang mungkin dan kami ini bukanlah golongan yang banyak wang,” katanya.

Menurutnya, setiap bulan, peserta terpaksa ke pejabat tersebut untuk mendapatkan wang yang dibayar ansur-ansur oleh pemaju, tetapi, wang yang diberikan itu tidak ditetapkan setiap bulan.

“Kami sentiasa bersedia untuk berjumpa dan berbincang dengan pihak yang berkenaan untuk menyegerakan menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Bagi P Gobal, 56, pula berkata, pihak pemaju perlulah berjumpa menyelesaikan masalah peserta ini dan bukan hanya sekadar berdiam diri sahaja.

Katanya, ia bukanlah melibatkan seorang, tetapi ramai yang masing-masing memerlukan jawapan daripada pemaju mengenai masalah sebenar yang dihadapi oleh mereka.

“Di mana janji-janji yang diberikan dengan memberikan wang dan sebuah rumah? Apa yang ada di sini, hanya sekadar rumah terbengkalai dan langsung tidak terurus.

“Wang yang kami dapat pun, tidak banyak sedangkan sepatutnya bayaran RM180,000 itu, sudah selesai dibayar kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian berjaya menghubungi pemaju untuk memberikan jawapan mengenai masalah berkenaan.

Jurucakap wakil pemaju itu berkata, masalah timbul disebabkan kekurangan modal dan akan berusaha untuk menyelesaikan masalah dengan segera.

“Sebenarnya, kita sedang berusaha untuk mendapatkan modal tersebut untuk membangunkan semula pembinaan tersebut.

“Oleh itu, diharap mereka dapat bersabar dan jangan bimbang kerana kita tidak akan menjual geran tersebut kepada mana-mana pihak,” katanya.

No comments:

Post a Comment