Monday, March 29, 2010

PESERTA MOHON BANTUAN KERAJAAN PAKATAN SELANGOR

Kami memohon bantuan dan perhatian Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim menyelesaikan masalah projek Taman Alam Mutiara dan bayaran tertunggak tanah kami. Kes ini bukanlah satu cerita yang baru, tapi cerita yang telah memakan masa yang terlalu lama. Sepatutnya tuntutan ini sudah diselesaikan oleh kerajaan Selangor BN terdahulu, tapi disebabkan BN kerajaan yang tidak bertanggungjawab maka kami dibiarkan sengsara. Kami mohon bantuan kerajaan pakatan dapatlah sekiranya membantu kami menyelesaikan sengsara yang kami alami bertahun tahun ini.

Untuk pengetahuan semua, kami peserta sudah tidak mampu lagi menanggung kesempitan hidup apalagi menanggung bebanan janji pemaju Mujur Zaman Sdn Bhd yang sering berdolak dalik.

PROJEK SAMPAH 'BN' SELANGOR

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor sedia membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh para pembeli rumah di Bandar Alam Mutiara dekat Ijok, demikian menurut satu kenyataan dari pejabat Menteri Besar.

Projek Bandar Alam Mutiara merupakan satu lagi projek yang gagal disiapkan oleh kerajaan negeri pimpinan Umno-Barisan Nasional terdahulu. Menurut kenyataan itu, ini merupakan laporan keempat dari siri pendedahan oleh Pejabat Menteri Besar untuk memberi gambaran jelas mengenai projek tanah Rancangan Revolusi Hijau Dua (RRH2) yang pada asalnya bertujuan untuk menolong golongan miskin melalui pertanian.

Laporan ini diedarkan kepada orang ramai setelah Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggunakan kuasanya dibawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 untuk mendeklasifikasikan dokumen-dokumen yang terlibat. Projek ini berlandaskan tanah RRH2 yang berkeluasan 2,136 ekar di mukim Ijok dan melibatkan 712 peserta RRH2. Mereka telah menyerahkah hak mereka atas tanah untuk dimajukan oleh syarikat swasta. Seramai 212 pembeli rumah yang telah membelanjakan RM9,500 seorang untuk bayaran kemajuan (progressive payment) untuk pinjaman perumahan walaupun projek berkenaan telah diisytiharkan sebagai “terbengkalai” oleh Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2006.

Syarikat pemaju yang membangunkan projek ini ialah MUJUR ZAMAN SDN BHD, yang modal berbayar RM2.00 sahaja. Mengikut rekod, syarikat ini bersetuju memberi pampasan sebanyak RM360,000.00 kepada setiap peserta RRH2 iaitu wang tunai sebanyak RM180,000 serta sebuah rumah bernilai RM180,000.00. Syarikat, yang sekarang telah diletakkan dibawah status “receivership”, juga didapati telah membuat 19 gadaian bank atas tanah-tanah yang terlibat. Namun demikian projek rumah sehingga kini masih belum dapat disiapkan manakala peserta RRH2 masih tidak menerima pampasan yang dijanjikan.

Sila hubungi Abd Hamid Bin Johari (AJK Bertindak) untuk mendapatkan maklumat lengkap berkaitan Projek Alam Mutiara. 017-2940171

TAMAN ALAM MUTIARA PROJEK TERBENGKALAI!!

[Kuala Selangor] TAMAN ALAM MUTIARA – “Sampai bila kami mahu tunggu?” Itu luahan 712 peserta pemilik tanah di kawasan itu mendakwa ditipu oleh pemaju yang berjanji untuk diberikan rumah dan wang pampasan kepada mereka.

Perumahan yang dibina itu, sepatutnya siap sepenuhnya pada 2002 tetapi terbengkalai begitu sahaja dan seolah-olah tidak beroperasi lagi.

Peserta, Sharip Jani, 55 berkata, ia adalah tanah anugerah yang diberikan oleh Kerajaan Negeri dan diberikan kepada peserta yang terpilih.

Tanah itu diusahakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), kemudian diserahkan kepada sebuah syarikat pemaju MUJUR ZAMAN SDN BHD untuk membangunkan di kawasan dengan keluasan 2246.774 ekar.

“Pihak pemaju ada berjanji kepada peserta di mana setiap seorang akan mendapat pampasan sebanyak RM360,000 dan dibahagikan dua iaitu diberikan RM180,000 dan selebihnya, sebuah rumah di taman ini.

“Kami dapat wang tersebut yang dibayar tiap-tiap bulan tetapi tidak selaras yang diberikan oleh kami. Ada yang dapat, sebulan RM200, RM500 dan paling teruk RM50 sahaja,” katanya ketika ditemui di tempat di sini.

Sharip berkata, bagi mendapatkan wang itu, peserta perlu ke pejabat pemaju tersebut dan tidak diberikan sebarang resit dan hanya perlu tanda tangan sahaja.

“Kami ini, orang kampung yang hanya ikut sahaja kehendak mereka dan mudah percaya segala apa yang dijanjikan.

“Pemaju pernah memberikan cek kepada peserta, tetapi apabila kami ke bank untuk menebus wang tersebut, pihak bank memberitahu bahawa cek tersebut adalah cek tendang,” katanya.

Ong Saa Kee, 74, pula berkata, sewaktu pergi ke pejabat itu untuk mengambil wang, dia juga turut mengemukakan pertanyaan kepada mereka mengenai pembinaan berkenaan.

“Saya tanya kepada mereka, bila perumahan di taman tersebut akan disiapkan, mereka memberikan jawapan, menyuruh sabar sahaja.

“Sampai bila mahu sabar sedangkan sepatutnya ia sudah siap pada 2002 dan boleh diduduki pada 2004 yang lalu,” katanya.

Saa Kee berkata, apa yang dikesalkan lagi, kebanyakan peserta adalah golongan yang berpendapatan rendah dan masing-masing sudah pun berusia.

“Tolonglah jangan pinggirkan dan sisihkan kami kerana tanah ini adalah satu-satunya harta untuk masa depan anak-anak,” katanya.

Rahimah Sehalang, 65 pula berkata, dia yang telah kehilangan suami dan anaknya begitu sedih kerana hanya tanah itu sahaja yang menampung perbelanjaan hariannya.

“Sekarang ini, makcik yang menjaga cucu yang masih kecil dan tidak mempunyai sebarang harta.

“Sebab itu, harap sangat pihak yang berkenaan dapat membantu menyelesaikan masalah ini dengan secepat yang mungkin dan kami ini bukanlah golongan yang banyak wang,” katanya.

Menurutnya, setiap bulan, peserta terpaksa ke pejabat tersebut untuk mendapatkan wang yang dibayar ansur-ansur oleh pemaju, tetapi, wang yang diberikan itu tidak ditetapkan setiap bulan.

“Kami sentiasa bersedia untuk berjumpa dan berbincang dengan pihak yang berkenaan untuk menyegerakan menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Bagi P Gobal, 56, pula berkata, pihak pemaju perlulah berjumpa menyelesaikan masalah peserta ini dan bukan hanya sekadar berdiam diri sahaja.

Katanya, ia bukanlah melibatkan seorang, tetapi ramai yang masing-masing memerlukan jawapan daripada pemaju mengenai masalah sebenar yang dihadapi oleh mereka.

“Di mana janji-janji yang diberikan dengan memberikan wang dan sebuah rumah? Apa yang ada di sini, hanya sekadar rumah terbengkalai dan langsung tidak terurus.

“Wang yang kami dapat pun, tidak banyak sedangkan sepatutnya bayaran RM180,000 itu, sudah selesai dibayar kepada kami,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian berjaya menghubungi pemaju untuk memberikan jawapan mengenai masalah berkenaan.

Jurucakap wakil pemaju itu berkata, masalah timbul disebabkan kekurangan modal dan akan berusaha untuk menyelesaikan masalah dengan segera.

“Sebenarnya, kita sedang berusaha untuk mendapatkan modal tersebut untuk membangunkan semula pembinaan tersebut.

“Oleh itu, diharap mereka dapat bersabar dan jangan bimbang kerana kita tidak akan menjual geran tersebut kepada mana-mana pihak,” katanya.